Perkembangan infrastruktur teknologi, komunikasi dan maklumat Universiti_Sains_Islam_Malaysia

Sejak 2008, USIM telah mula menggunakan sistem pengurusan pembelajaran yang diberi nama myLMS.[2]

Selaras dengan misi penubuhan Unit Teknologi Maklumat di USIM, infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyokong segala aktiviti P&P dan menyediakan sistem penyampaian kepada bahagian pentadbiran USIM secara optimum dan kos efektif. Pada awal penubuhan, USIM memulakan operasi pentadbiran dengan meminjam dua unit komputer peribadi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan penyediaan kemudahan ICT. Pada tahun yang sama, kerajaan membekalkan 65 unit komputer peribadi kepada USIM bagi menyokong operasi pentadbiran dan 35 unit komputer peribadi bagi tujuan P&P. 

Dalam usaha menambah baik sistem pengurusan ICT, USIM memeterai Perjanjian Perkongsian Pintar dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 22 Syaaban 1425 H (6 Oktober 2004 EM). Perjanjian ini bertujuan membangunkan Sistem Maklumat Universiti (SMU) di USIM. Hasil daripada perjanjian ini, Unit Teknologi Maklumat memperkemas sistem penyampaian universiti dan membangunkan lapan sistem iaitu Sistem Maklumat Pengurusan Pelajar (Al-Aliyah, Al-Uliyah), Sistem Maklumat Pengurusan Staf (Al-Munazzim), Sistem Kewangan Universiti (Al-Maaliyah), Sistem Pengurusan Penyelidikan (Al-Bahthiyyah), Sistem Pengurusan Akademik (e-Akademik), Sistem Pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) (Al-Thullabiyah), Sistem Portal (e-Wadi) yang berasaskan pangkalan data Sybase dan sistem myAKRAB (my Automated Kiosk Readable Accesible Biometric). 

Bermula 1425 H (2005 EM), fasa pembangunan infrastruktur ICT dibangunkan selaras dengan Pelan Induk ICT Kampus Tetap yang dirancang dan diluluskan. Pada 1427 H (2007 EM), Unit Teknologi Maklumat dinaik taraf kepada PPITM. Pusat ini menguruskan pengurusan

ilmu dan teknologi pengajaran seperti e-pembelajaran, pusat pengumpulan ilmu yang menyokong kepada teknologi P&P dan penyelidikan. Namun, pada 1431 H (2010 EM), USIM memberi penjenamaan baharu kepada PPITM dengan menukar nama kepada Pusat Teknologi Maklumat (PTM).

ICT USIM mula menunjukkan kematangan dalam pembangunan sistem aplikasi apabila mula memberanikan diri menyokong sistem utama yang diperoleh daripada perkongsian pintar yang dibangunkan secara dalaman dengan menggunakan teknologi berasaskan web. Pada ketika itu, USIM menyahut cabaran pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang menggalakkan penggunaan sumber terbuka secara percuma bagi tujuan penjimatan dan ketidakbergantungan agensi kepada pihak pembekal. Pihak ICT USIM melaksanakan beberapa inovasi dalam P&P daripada 1420-1436 H (2000-2015 EM). Antara perubahan yang dilaksanakan ialah mewujudkan makmal komputer, e-pembelajaran, persidangan video, perisian Microsoft Office 365, Skype untuk Perniagaan, Massive Open Online Courses (MOOC) dan infrastruktur desktop secara maya.